PERINGKAT 1:


PERANCANGAN AUDIT
Pada peringkat perancangan audit, juruaudit akan memberitahu, memaklumkan dan berbincang dengan pihak auditee mengenai skop dan objektif pengauditan, mengumpul maklumat mengenai proses-proses utama, menilai sistem kawalan dalaman, dan merancang langkah-langkah pengauditan. Dalam peringkat perancangan, Audit Dalam akan melaksanakan 2 perkara seperti berikut

i. Surat/E-mail Pengauditan
Auditee akan diberitahu oleh pihak UAD melalui surat/e-mail pengauditan daripada Ketua Unit Audit Dalam. Surat ini akan menjelaskan skop dan objektif pengauditan, bahan-bahan/dokumen perlu disediakan dan maklumat lain yang berkaitan.

ii.Mesyuarat Pembukaan (Entrance/Opening Conference)
Mesyuarat pembukaan merupakan medium bagi juruaudit dan auditee berbincang mengenai Jabatan/Pusat Tanggungjawab (PTJ) atau sistem yang akan dikaji, keperluan sumber dan maklumat lain yang berkaitan. UAD juga akan memperkenalkan pegawai-pegawainya yang ditugaskan untuk menjalankan pengauditan kepada auditee. Mesyuarat ini adalah penting bagi memaklumkan auditee mengenai isu-isu atau perkara-perkara yang perlu diberi perhatian khas untuk ditangani.

PERINGKAT 2:

PELAKSANAAN AUDIT
Kerja lapangan adalah aktiviti utama di peringkat pelaksanaan dan ia menumpukan kepada pemeriksaan ke atas transaksi dan juga komunikasi secara formal. Pada peringkat ini, juruaudit akan menentukan sama ada kawalan yang dikenal pasti beroperasi dengan betul dan mengikut seperti yang dijelaskan oleh pihak auditee. Di akhir peringkat perlaksanaan ini, suatu senarai penemuan isu-isu penting pengauditan akan disediakan sebelum draf laporan audit disediakan.

PERINGKAT 3:

PELAPORAN AUDIT
Produk utama Audit Dalam adalah laporan Audit  yang merupakan suatu pandangan atau pendapat yang diberikan oleh juruaudit berdasarkan bukti yang telah dikumpul semasa kerja lapangan (fieldwork).
Pada peringkat ini, penemuan dan cadangan audit akan dibentang dan dibincangkan dengan pihak auditee untuk penambahbaikan, dilaporkan kepada Jawatankuasa Audit PTSB dan seterusnya auditan susulan dilaksanakan bagi mengesahkan tindakan telah diambil.

1.Draf Laporan Audit
Dalam usaha untuk memudahkan penyampaian dan memastikan bahawa cadangan-cadangan yang dikemukakan dalam draf laporan adalah praktikal, draf laporan dikeluarkan kepada auditee untuk mendapatkan maklumbalas mengenai pengurusan auditee sebelum UAD membincangkan perkara ini dengan auditee dan sebelum laporan akhir dikeluarkan.

2.Maklumbalas Pengurusan
Auditee diberi peluang untuk memberi maklumbalas keatas penemuan audit sebelum laporan akhir dikeluarkan. Maklumbalas ini akan dimasukkan atau yang dilampirkan kepada laporan akhir Audit Dalam.

3.Mesyuarat Penutup/Exit Conference
Apabila draf laporan telah disediakan dan diluluskan, UAD akan mengadakan pertemuan sebagai mesyuarat penutup dengan pihak pengurusanĀ auditee untuk membincangkan penemuan dan cadangan audit yang telah dibangkitkan.

4.Laporan Akhir
Laporan akhir akan disediakan oleh Audit Dalam setelah mengambilkira perkara-perkara seperti yang dibincangkan dalam mesyuarat penutup atau Exit Conference dan perbincangan yang lain bersama pihak auditee.

5.Mesyuarat Jawatankuasa Audit PTSB
Sebagai sebahagian fungsi UAD dalam memastikan amalan tadbir urus yang baik, laporan akhir akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Audit PTSB untuk pertimbangan dan kelulusan. Selepas mesyuarat Jawatankuasa Audit PTSB, laporan akhir akan dikeluarkan kepada auditee untuk tindakan yang perlu diambil berkaitan penemuan audit yang telah dibangkitkan.

6.Audit Susulan
Aktiviti terakhir dalam proses pengauditan adalah melaksanakan audit susulan untuk mengesahkan tindakan telah diambil terhadap penemuan laporan audit sebelumnya.

 

Hak Milik Terpelihara 2014-2015 Team Sistem UAD ( AZRAL,SA'AMAH,AZIZATULAISHAH&ZHAHIR)